1) Latar Belakang Kes
Seorang budak lelaki berusia 7 tahun,tidak pernah memakai cermin mata sebelumnya,datang ke praktis William Optic Bentong untuk pemeriksaan mata. Saya namakan adik ini adik Z. Dari padangan mata kasar,adik Z ini yang lain daripada biasa,iaitu dia selalu mengecilkan matanya apabila cuba untuk fokus pada sesuatu objek.Pemerikasaan "power" mata mendapati mata kanan adik Z mengalami rabun jauh (Miopia) yang tinggi,manakala "power" mata kiri adik Z normal .Dari segi istilah sains,perbezaan "power" mata yang ketara ini dinamakan "Anisometropia".Penglihatan maksima dengan cermin mata untuk mata kanan hanyalah sehingga 6/21.Hal ini bermaksud adik Z hanya boleh melihat 4 baris teratas dari 10 baris di carta huruf Snellen,walaupun bantuan cermin mata telah pun diberikan.Hasil pemeriksaan struktur bahagian depan dan belakang mata adalah normal,tiada penyakit mata yang signifikan.Rumusan dari hasil pemeriksaan saya,adik Z didiagnos mengalami mata malas ataupun istilah saintifiknya,"Amblyopia".
2) Diagnosis : RE Moderate Anisometropic Amblyopia
**Apakah itu “amblyopia”,dan bagaimanakah ia terjadi?**
Mata malas bukanlah sejenis penyakit,tetapi ia adalah gangguan pada penglihatan yang berlaku ketika proses perkembangan mata,iaitu seawal usia bayi hingga 6 tahun. Halangan tersebut boleh terjadi akibat beberapa faktor,antaranya ialah juling sebelah mata yang kekal,rabun,ataupun ketidaknormalan pada struktur mata seperti kelopak mata yang kuyu (Ptosis), sehingga mengahalang cahaya masuk ke dalam mata. Jika halangan tersebut tidak dibetulkan,otak akan perlahan-lahan mengabaikan mata yang bermasalah tersebut,dan hanya melihat dengan mata yang lebih baik. Mata yang tidak digunakan itulah yang dinamakan mata malas.
3) Rawatan terapi Mata Malas (Amblyopia)
Rawatan yang paling utama untuk adik Z ialah membetulkan “power” mata beliau terlebih dahulu.Kemudian,adik Z harus menjalani rawatan terapi visual yang merangkumi latihan terapi untuk12 minggu.Matlamat utama terapi ini adalah untuk mendapatkan penglihatan yang terbaik untuk mata kanan adik Z. Harapan saya pada adik Z adalah tinggi memandangkan beliau baru berusia 7 tahun,dan motivasi yang ditunjukkan oleh ibu dan adik Z sangat baik.Pada permulaan terapi,adik Z perlu melakukan “patching” terapi di rumah selama 2 jam sehari, dengan cara menutup mata kiri ketika melakukan aktiviti dekat seperti membaca,menulis,dan membuat kerja sekolah.Hal ini adalah untuk memberi rangsangan pada mata yang lemah,iaitu mata kanan.Walaubagaimanapun,usia 7 tahun adalah usia untuk kanak-kanak bermain aktif dengan kawankawan di luar, respons adik Z terhadap rawatan “patching” adalah sedikit sukar. Untuk berterusan melakukan terapi “patching” selama 2 jam berterusan adalah agak mencabar bagi adik Z.Jadinya, saya putuskan untuk melonggarkan sedikit rawatan tersebut dengan cara membenarkan adik Z berehat selama sejam,selepas selesai melakukan terapi “patching”selama sejam.Kemudian,sambung semula untuk baki 1 jam tadi selepas rehat.Walaupun pada awalnya sedikit sukar untuk melakukan “patching”selama 2jam berterusan, namun selepas beberapa minggu adik Z sudah boleh membiasakan diri.
Rawatan selama 12minggu yang disediakan di William Optic tidak hanya tertumpu untuk meningkatkan tahap kejelasan mata semata-mata,tetapi juga untuk memperkuat komponen mata yang lainnya seperti stamina mata untuk fokus,koordinasi mata kanan dan kiri,serta kekuatan penglihatan binokular.Untuk kes adik Z,stamina mata untuk fokus dekat adalah sedikit lemah daripada jangkaan berdasarkan umur beliau.Oleh itu,adik Z turut diberikan rawatan untuk memperkuatkan stamina mata untuk fokus dekat,seperti rawatan pen-ke-hidung,Hart Chart,dan Flipper Lens. Perkembangan beliau sangat positif dan memberangsangkan kerana di akhir minggu ke12,beliau telah berjaya mencapai target untuk menambah baik tahap kejelasan mata kanan, serta memperkuatkan sistem mata untuk fokus dekat. Daripada hanya boleh melihat 4 baris teratas (6/21),kini mata kanan adik Z sudah boleh melihat sehingga baris ke 9 daripada 10 baris di carta huruf (6/9).Walaupun masih sukar untuk melihat di baris yang paling kecil iaitu baris 6/6, namun pencapaian adik Z bagi saya sudah pun memadai dan sangat baik.Tambahan pula,mata kanan dan kiri dapat bekerjasama dengan baik untuk penglihatan binokular 3D.Harapan saya, mata kanan adik Z dapat bertambah baik lagi sehingga penglihatan mata kanan beliau boleh mencecah tahap standard iaitu,6/6.
4) Kesimpulan selepas selesai terapi adik Z untuk 12 minggu
Saya percaya,kejayaan yang dicapai oleh adik Z bukanlah usaha saya dari William Optic semata-mata,tetapi usaha kedua-dua belah pihak,iaitu termasuklah adik Z dan ibunya juga. Kenapa saya katakan begitu ? Kerana kebanyakan terapi tambahan yang diberikan untuk dibuat di rumah selain daripada “patching”,memerlukan usaha dari adik Z sendiri.Bayangkan,minggu awal terapi selalunya pesakit akan mengadu sedikit ketidakselesaan seperti sakit kepala dan mata rasa cepat penat. Ini adalah kerana kita telah memaksa mata untuk bekerja walaupun mata tersebut lemah.Sebenarnya ini adalah cabaran terbesar apabila melakukan sesi terapi.Bagi mereka yang tiada motivasi,agak sukar untuk melengkapkan kesemua12 minggu.Analogi bagi terapi penglihatan ini lebih kurang sama seperti apabila melakukan terapi fisioterapi.Bayangkan, apabila kita baru sembuh dari patah kaki untuk jangkamasa yang lama,permulaan sesi terapi adalah sangat sukar dan memeritkan.Setiap kali hendak berjalan,akan terasa sakit.Namun,lama-kelamaan,rasa sakit tersebut semakin hilang dan kita semakin berupaya untuk berjalan seperti biasa.
Kunci kejayaan yang kedua pula ialah pengesanan masalah mata adik Z pada peringkat awal.Adik Z bertuah kerana memiliki ibu yang sangat prihatin akan kesihatan anaknya.Masalah mata malas adik Z dapat dikesan dan diberi rawatan pada peringkat awal,sebelum perkembangan mata menjadi matang.Menurut kebanyakan kajian perubatan,untuk kesan rawatan yang paling berkesan, rawatan tersebut hendaklah diberikan sebelum usia 7 tahun (rujuk: Amblyopia Treatment Studies by PEDIG). Oleh itu,bawa anak-anak untuk melakukan saringan penglihatan sebelum memasuki alam persekolahan untuk memastikan perkembangan visual anak-anak tidak terjejas.Kami di William Optic mengalu-alukan para pembaca untuk melakukan saringan penglihatan untuk anak-anak anda. Matlamat kami adalah untuk memberikan khidmat pemeriksaan dan rawatan mata terbaik kepada komuniti setempat.
Yang ikhlas,
Optometrist berkhidmat untuk komuniti @William Optic. MOC reg no.O02057
Comments